Wednesday, 29 October 2014

Pulau Kucing di Negara Jepun

Sebuah pulau di daerah Fukuoka, Jepun mempunyai tarikan istimewa terutama bagi peminat kucing. Ini kerana, kucing-kucing ini bebas merayap ke mana mana sahaja di dalam pulau tersebut tanpa risau akan dikejar atau dihalau.

Kucing-kucing ini akan diberi makan oleh penduduk setempat yang kebanyakkanya adalah pelayan. Kucing separa liar ini hidup dengan aman dan penduduk setempat amat menghormati kucing-kucing ini. 

Kucing dan penduduk disini berkongsi satu hubungan yang menakjubkan, boleh memancing ikan bersama ataupun bermain dengan kanak-kanak. Seorang jurugambar, Fubirai telah mendokumentasi kehidupan kucing ini selama 5 tahun dipulau yang terletak di utara Kyushu, Jepun.



Sumber nekomemo                                                                                                                                                                            

6 RAHSIA KEBAHAGIAAN RUMAHTANGGA..

(1) Kejujuran- Faktor ini adalah merupakan aspek penting di dalam sesuatu kebahagiaan hubungan rumah tangga. Pada kebiasaannya, pasangan yang berasa teraniaya atau dianiaya akan menyimpan dendam dalam setiap penipuan yang telah dilakukan. Masalah ini akan berbalas-balas sehingga menjadi punca keretakan didalam sesuatu hubungan.

(2) Hormat- Semua manusia yang hidup di muka bumi ini suka apabila diri mereka dihormati. Begitu juga dalam hubungan rumah tangga, suami menghormati isteri, dan isteri pula menghormati suami. Selagi perasaan hormat-menghormati ini menebal dalam diri, pasti tiada masalah untuk sesuatu pasangan untuk mengekalkan kebahagiaan mereka.

(3) Cinta- Apabila menyebut soal cinta, ia adalah satu perkara yang subjektif yang sukar untuk diterjemahkan. Cinta juga mungkin boleh disamaertikan dengan pengorbanan. Sekiranya anda betul-betul mencintai pasangan, sudah pasti anda akan sanggup untuk berkorban demi kebahagiaan mereka. Kebahagian yang pasangan anda miliki pula akan menjadi kebahagian untuk diri anda.

(4) Sabar- Sifat pemarah adalah merupakan faktor utama yang menjadi punca dalam keretakan sesuatu hubungan. Anda perlu belajar untuk bersabar. Lakukan sesuatu dengan pertimbangan yang waras dan bukannya apabila dipengaruhi oleh emosi.

(5) Komunikasi- Pasti anda semua menyetujui jika kami menyatakan bahawa lebih banyak mendengar adalah lebih baik berbanding lebih banyak bercakap. Berikan sepenuh perhatian apabila pasangan anda meluahkan perasaan untuk mereka merasakan diri mereka dihargai. Seseorang yang merasakan diri mereka dihargai akan tahu untuk menghargai orang lain.


(6) Memahami- Apabila isteri anda seorang yang pemarah, anda perlu banyak bersabar. Bukannya anda juga turut serta untuk berasa marah. Apabila anda sudah memahami pasangan anda, ia juga bermakna anda akan mampu untuk bertolak ansur terhadap pasangan dalam apa jua situasi sekalipun. Tolak ansur juga penting dalam kebahagiaan rumah tangga.


 Sumber SemanisKurmaTv9


13 CARA MUDAH BANGUN QIAMULLAIL

Faktor yang memudahkan seseorang itu boleh bangun untuk berqiyamullail



Menurut Syeikh Muhammad Solih al-Munajjid, terdapat beberapa faktor penting yang dilihat boleh membantu umat Islam untuk bangun bagi melakukan solat di tengah malam seperti di bawah ini:

1. Ikhlas kepada Allah dalam setiap tindakan yang dilakukan bagi meraih keredaan-Nya, iaitu melakukan solat malam dengan merahsiakannya daripada pengetahuan orang ramai, ia bertujuan supaya tidak ada rasa riak dalam diri.

2. Hendaklah bagi orang yang melakukan solat malam itu mempunyai perasaan dalaman, bahawa Allah SWT menjemputnya untuk bangun di tengah malam.

3. Mengetahui sedalam-dalamnya ilmu mengenai kelebihan bangun di tengah malam berdasarkan pengajian dan perbincangan.

4. Memerhati kepada kesungguhan individu-individu terdahulu daripada kita yang istiqamah dan iltizam melakukan qiyamullail khususnya para solihin di kalngan para sahabat dan ulama.

5. Tidur di atas lambung sebelah kanan akan memudahkan seseorang itu boleh bangun di tengah malam seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

6. Tidur dalam keadaan berwuduk seperti ditegaskan oleh Rasulullah; “Apabila anda hendak masuk tidur, berwuduklah seperti untuk menunaikan solat.” Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim daripada al-Barra Bin Azib.

7. Bersegera masuk tidur (tidur di awal waktu) terutama lepas solat Isyak seperti amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

8. Berzikir dengan wirid-wirid yang Ma’thur seperti Ma’thurat sebelum tidur, kerana ia menjadi benteng diri daripada kejahatan Syaitan dan membantu untuk mudah bangun, atau ayat-ayat pilihan dari al-Quran, baca doa tidur, membaca tiga Qul dan sebagainya.

9. Seboleh-bolehnya tidur sebentar di siang hari yang dikenali sebagai ‘Qailulah’, iaitu sebelum masuk waktu Zohor atau selepasnya, ala kadar setengah jam.

10. Elak daripada banyak makan dan minum, kerana ia boleh membantutkan hasrat untuk bangun di tengah malam.

11. Bertekad sedaya upaya untuk bangun malam dalam apa jua keadaan.

12. Menjauhkan dosa dan maksiat, kerana ia dikenal-pasti sebagai penghalang pertama dan utama dari mudah untuk bangun di tengah malam.

13. Membuat perhitungan diri (muhasabah) jika tidak mampu untuk bangun di tengah malam.

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekelian!

Qiyamullail adalah ibadat yang menghubungkan hati kita dengan Allah selain ia adalah sunnah muakkadah yang sangat dianjurkan oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda :

 “Hendaklah kamu lakukan solat di tengah malam, sesungguhnya ia merupakan kebiasaan kepada orang-orang soleh sebelum kamu, ia boleh mendekatkan kamu kepada Tuhan kamu, ia juga penghapus segala dosa, penghalang daripada terjebak kepada maksiat dan dosa dan penawar kepada penyakit yang ada di tubuh.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi)