Allah SWT sangat menyukai amalan yang istiqamah dan
berkesinambungan kerana prinsip istiqamah tidak terpisah dalam rangkaian ibadah
selain menjadi roh untuk menjiwai amalan serta menentukan amalan itu berkualiti
atau sebaliknya.
Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling disukai oleh
Allah ialah amalan yang istiqamah (berterusan atau konsisten) walaupun
sedikit.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Utama perkara fardu
Bagi memastikan kita terus istiqamah melakukan amal kebaikan
dan menjaga kesinambungan amal ibadah, hendaklah sentiasa menjaga dan
menitikberatkan perkara fardu seperti solat lima waktu serta menyegerakan qada
ibadah seperti puasa untuk memperoleh reda Allah SWT.
Kedua, kita hendaklah sentiasa memohon pertolongan daripada
Allah SWT dengan sungguh hati supaya diberikan hidayah dan keteguhan iman
secara berterusan serta sentiasa berada di landasan yang betul sebagaimana
ditekankan oleh syariat Islam.
Ketiga, sentiasa melakukan ibadah sunat walaupun dalam
kuantiti yang sedikit dan membaca ayat suci al-Quran secara berterusan,
berusaha menghafaznya serta dibacakan dalam solat fardu atau sunat. Amalan ini
harus dipupuk supaya kita sentiasa berinteraksi, mempelajari, memahami isi
kandungan al-Quran.
Rasulullah SAW: “Pertahankanlah dirimu bersama al-Quran ini,
demi jiwa Muhammad yang ada ditangan-Nya, sesungguhnya al-Quran ini lebih cepat
hilangnya daripada cepatnya ikatan tali unta yang terlepas.” (Riwayat
al-Bukhari dan Muslim)
Sentiasa berzikir
Keempat, sentiasa berzikir kepada Allah SWT, di samping
sentiasa beristighfar kerana ia amalan yang tidak sukar untuk dilakukan dan
mempunyai manfaat besar iaitu dapat menguatkan iman serta meneguhkan hati.
Kelima, sentiasa menghadiri majlis ilmu seperti kuliah
agama, ceramah dan tazkirah selain berusaha mengenali serta menghayati sejarah
hidup Rasulullah, sahabat dan tokoh ilmuwan Islam.
Keenam, sentiasa berusaha menjauhkan diri daripada perkara
mungkar yang boleh merosak dan mematikan hati seperti bersahabat dengan orang
yang buruk akhlak, mengeluarkan kata-kata kesat serta lucah kerana ia boleh
menyebabkan hati menjadi keras serta sukar untuk menerima hidayah Allah SWT.
Ketujuh, segera bertaubat jika terlanjur melakukan dosa
dengan taubat nasuha supaya tidak terjerumus kembali ke lembah kehinaan dan
maksiat. Mudah-mudahan dengan melakukan amalan secara istiqamah menjadikan kita
insan yang lebih bertakwa.
No comments:
Post a Comment