SEBUT sahaja nama “Tok Guru” sudah pasti auranya
sangat kuat khasnya terhadap rakyat Kelantan dan juga seluruh masyarakat dunia
yang sentiasa dinanti-nantikan apa jua khabar mengenai beliau.
Tok Guru atau nama sebenarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan pada
hari Sabtu iaitu 10 Januari 1931 di Kampung Pulau Melaka dalam sebuah keluarga
yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam.
Sebelum menjadi Menteri Besar Kelantan, beliau
seorang guru agama yang aktif dan
pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah
Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi.
Jadi tidak
hairanlah beliau lebih mesra dengan gelaran ‘Tuan Guru’ atau ‘ Tok Guru’ yang melekat sehingga
sekarang termasuk kanak-kanak sekalipun mengenalinya.
Mengenai pendidikannya, Nik Aziz mendapat pendidikan
awal dari ayahnya sendiri, Tuan Guru Haji Nik Mat Raja Banjar di kediamannya di
Pulau Melaka.
Bapanya, merupakan keturunan Raja Jembal, lebih
dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam
ilmu-ilmu agama dan terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi
pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.
Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal
bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Nusantara. Sejak kecil
beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama dari Almarhum ayahandanya
serta belajar menulis daripada ibunya Aminah Majid.
Pada masa itu juga, Nik Aziz berulang alik ke Kampung
Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau
Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Datuk Muhamad Nur Ibrahim (bekas
Mufti Kelantan) mengenai ilmu Fekah.
Nik Aziz sewaktu berusia 9 tahun pula, dihantar
berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah,
Jertih, Besut, Terengganu.
Beliau menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga
peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika. Setelah perang
tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.
Walaupun usia Nik Aziz
masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu
yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih berusia darinya.
Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek
Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Kemudian beliau juga menyambung
pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul
Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan pelbagai lagi.
Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik
al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad
Al-Madani dengan mendapat ijazah.
Kemudiannya, pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke
Pakistan dalam bidang Tafsir sebelum menyambung pelajaran pada tahun 1958 di
Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam
jurusan Pengajian Hahasa Arab.
Selepas itu, beliau terus menimba ilmu menyambung
pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan
perundangan Islam selama dua tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan
di Darul Azhar dan pulang ke tanah air Februari
1962.
Pada usia 34 tahun (1962), beliau mendirikan rumah
tangga dengan Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, berasal dari Kampung Kemumin,
Kota Bharu.
Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10
cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki. Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar,
Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani,
Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.
Pada tahun 1962 juga beliau membuka sekolah yang
diberi nama sebagai Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka dengan
menggunakan tanah wakaf diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom.
Beliau juga pada sebelah petang dan sebelah pagi
berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin.
Manakala pada sebelah malam beliau menjadi guru dan
penyelia di sekolah dewasa selama dua
tahun sebelum meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan
Merbau, Kota Bharu pada 1 Januari 1964.
Menyentuh mengenai dunia politiknya pula, Nik Aziz
mula menjadi ahli Pas sejak tahun 1967
dan pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon parti itu dalam pilihan
raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa).
Selanjutnya, pada tahun 1986 beliau berpindah untuk
bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Adun Semut Api. Kemudiannya, pada tahun 1971
beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama Pas Pusat sehingga tahun 1995
kemudian dilantik sebagai Mursyidul Am
Pas mengambil alih amanah ditinggalkan oleh Tuan Haji
Yusuf Rawa.
Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya Pas
Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990 dan di sinilah
bermulanya era kepimpinan ulama.
Tok Guru seorang pemimpin yang sangat petah bercakap
kerana setiap yang dituturkannya mahupun
perumpamaan yang digunakan dalam ceramah mahupun kuliahnya mudah untuk
difahami.
Dialek Kelantannya yang pekat dan juga bait-bait ayat digunakan dalam setiap tutur
bicaranya dapat memikat hati para pengikutnya dan ia mudah melekat dalam
sanubari apatah lagi ketika sesi kuliah mingguan pada hari Jumaat di adakan di
Dewan Zulkifli Muhammad
Bangunan Pas.
Perkongsian minda beliau bukan sekadar dimanfaatkan
oleh penyokong tempatan bahkan bahan
kesetnya (rekod ceramah ketika itu) tersiar di seluruh negara hingga ke
Selatan Thailand sehinggakan menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.
Tidak terhenti di situ sahaja, biarpun sudah tidak
menjadi menteri besar lagi selepas melepaskan jawatannya selepas PRU13 dan
dalam keadaan kesihatan agak tidak berapa elok beliau masih lagi meneruskan
ceramah biarpun tidak secara tetap.
Di Dewan Zulkifli Muhammad inilah, ribuan umat Islam
akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah
mingguan Tok Guru.
Ketika era pentadbirannya juga Nik Aziz adalah seorang
yang hebat kerama kehebatan yang dikurniakan ALLAH SWT kepada Mursyidul Am Pas itu tidak dapat
dinafikan apabila pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) dan
menganugerahkan beliau sebagai
Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di
Malaysia.
Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau
menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun.
Pada 2009, beliau antara 50 tokoh Islam berpengaruh di
dunia dan disenaraikan dalam buku berjudul “The 500 Most Influential Muslims”.
No comments:
Post a Comment