Sudah menjadi keyakinan setiap Muslim yang beriman
kepada Allah SWT, setiap rahmat, musibah, kejayaan, kegagalan, keuntungan dan
kerugian datang daripada Allah SWT, yang Maha Mengetahui bila ia akan melimpah
serta menimpa seseorang atau bangsa.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Katakanlah
(wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa
yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami
dan (dengan kepercayaan itu), maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang
beriman bertawakal." (Surah al-Taubah, ayat 51)
Ini bermakna kehidupan di dunia tidak sunyi daripada
kemelut, krisis, musibah dan malapetaka di mana tidak seorang pun akan terlepas
daripadanya. Ini kerana malam dan siang bersilih ganti menghadirkan seribu satu
dugaan serta ujian bagi menguji tahap ketakwaan di jiwa.
Musibah jadi renungan, muhasabah diri
Dunia ini tidak lagi memberikan kebaikan dan
keberkatan hidup kecuali kepada orang yang sedia mendengar serta menginsafi
diri atau seorang yang memanfaatkan ilmunya untuk menyampaikan kebenaran.
Justeru, apa-apa musibah dan bencana yang menimpa,
sewajarnya dijadikan renungan dan muhasabah diri.
Setiap Muslim wajar merenung apakah kesilapan atau
kecuaian yang pernah dilakukan hingga mengundang bala bencana daripada Allah
SWT. Dalam satu sudut lain pula, dugaan Allah SWT bagi menguji sejauh mana
keimanan kepada-Nya.
Muslim yang berjaya ialah yang sentiasa mengambil
iktibar, merenung diri dan seterusnya bersyukur kepada Allah SWT. Apa sahaja
yang berlaku pada diri seseorang atau sesebuah bangsa adalah bertitik tolak
daripada perilaku manusia sendiri.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Masing-masing
Kami seksa kerana dosanya; di antara mereka ada yang Kami kirim kepadanya angin
taufan (yang mengandungi pasir) dan di antara mereka ada diseksa oleh teriakan
yang keras (terus mati) dan antara mereka ada yang Kami benamkankan ke dalam
bumi, dan ada yang Kami tenggelamkan (dalam laut). Allah tidak menganiaya
mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri." (Surah
al-Ankabut, ayat 40)Sabar hadapi musibah
Sudah menjadi kewajipan setiap Muslim yang beriman
supaya bersabar mendepani segala musibah dan malapetaka yang melanda. Janganlah
pula merasa lemah semangat, berduka cita, berputus asa, bersedih secara
berlebihan, apatah lagi menyalahkan takdir terhadap apa yang telah berlaku.
Bukankah Rasulullah SAW pernah menasihati umatnya
melalui sabdanya: "Hendaklah kamu bersungguh-sungguh dalam perkara yang
memberi manfaat kepadamu, mintalah pertolongan daripada Allah dan jangan kamu
merasa lemah. Jika kamu ditimpa sesuatu, janganlah pula kamu mengatakan: kalau
aku berbuat itu dan ini, nescaya jadi begini. Sebaliknya katakanlah: itu adalah
ketentuan Allah dan apa yang Allah kehendaki pasti akan terjadi. Sebenarnya
perkataan 'kalau' itu membuka pintu kepada perbuatan syaitan." (Riwayat
Bukhari)
Begitulah sifat Muslim yang sebenarnya apabila
berhadapan dengan sebarang musibah dan bencana. Tambahan pula, manusia adalah
makhluk yang serba lemah, daif, manakala segala musibah dan bencana pula semua
telah ditetapkan Allah SWT sejak azali lagi di Luh Mahfuz.
Dengan keyakinan seumpama ini, setiap Muslim akan
bertambah keimanan terhadap kebesaran dan kekuasaan Allah yang Maha Agung. Ini
bukan bermakna kita hanya pasrah dan menyerah bulat-bulat semasa berhadapan
dengan musibah itu.
Berhadapan dengan keadaan yang sukar, amat wajar
setiap Muslim memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi, lebih bersimpati terhadap
nasib mangsa yang ditimpa musibah dengan meringankan segala kesulitan
dihadapinya di samping menyelami hikmah di sebalik musibah yang menimpa.
Dalam keadaan ini, Rasulullah SAW pernah berpesan
kepada umatnya sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya dijauhkan dari segala
malapetaka dan musibah. Sabda Rasulullah SAW: "Bersihkanlah hartamu dengan
zakat, ubatilah sakitmu dengan sedekah dan tolaklah olehmu bala bencana dengan
doa." (Riwayat Tabrani)
Doa lindungi bencana
Bukankah doa senjata ampuh seorang Mukmin apabila
berada pada saat-saat genting, lebih-lebih lagi apabila ditimpa musibah yang
berlaku di luar jangkaan. Dalam hal ini, setiap Muslim seharusnya melakukan
solat hajat dan memperbanyakkan doa supaya dilindungi segala bencana.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah:
Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana di darat dan di laut? (Ketika)
kamu berdoa merayu kepada-Nya dengan merendah diri (secara terang-terangan) dan
secara bersembunyi (dengan berkata): Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan
kami dari bencana ini nescaya menjadilah kami daripada orang yang
bersyukur." (Surah al-An'am, ayat 63)
Begitulah wajah kehidupan manusia yang sewajarnya
direnungi supaya dapat dijadikan teladan dan sempadan kepada umat Islam.
Ringkasnya, kesemua malapetaka yang menimpa itu sepatutnya dijadikan bahan
pengajaran dan iktibar untuk insaf serta kembali pada landasan yang lurus.
Di samping itu, Muslim juga disaran bertaubat kepada
Allah SWT daripada sebarang kesilapan dan kecuaian sama ada tidak menunaikan
sesuatu perintah Ilahi atau melanggar sesuatu larangan-Nya pada suatu ketika
dahulu.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Telah timbul
pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang
telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah
hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang telah
mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah
al-Rum, ayat 41)
No comments:
Post a Comment