Diet seimbang, amalan pemakanan sihat pelihara Muslim
daripada serangan penyakit
KESEMPURNAAN Rasulullah SAW sebagai kekasih Allah tiada
tolok banding yang menjadi ikutan Muslim sedunia termasuk diet makanan Baginda.
Rahsia Rasulullah SAW menjaga kesihatan rohani dan jasmani
untuk menyampaikan seruan Allah kepada umatnya ialah sabda Baginda bermaksud:
“Kami adalah satu kaum yang tidak akan makan melainkan apabila sudah terasa
lapar dan apabila kami makan, tidak pernah sampai kenyang.”
Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), amalan gaya
hidup mewah masa kini (makan makanan tinggi lemak dan kurang bersenam)
menyebabkan peningkatan penyakit kronik seperti penyakit jantung, tekanan darah
tinggi, strok, diabetes dan kanser.
Pertubuhan Jantung Amerika Syarikat menyarankan, semua
kanak-kanak dan orang dewasa perlu mengumpulkan sekurang-kurangnya 30 minit
aktiviti fizikal sederhana pada kebanyakan hari atau sebaik-baiknya setiap hari
dalam seminggu.
Daripada Aisyah, “Bala yang pertama sekali berlaku kepada
umat ini sesudah kepergian Nabi SAW ialah kekenyangan perut, sebab apabila
sesuatu kaum kenyang perutnya, gemuk badannya, lalu akan lemahlah hatinya dan
akan bermaharajalela syahwatnya.” (Hadis riwayat Bukhari ).
Selain menjaga kebersihan, Rasulullah SAW makan makanan
seimbang, makan perlahan-lahan, sederhana dan berkongsi makanan. Rasulullah SAW
suka makan susu, buah-buahan, tamar, daging, madu, sayur dan bubur kerana
makanan itu mempunyai khasiat yang tinggi.
Susu adalah makanan lengkap, kaya dengan protien, kalsium,
vitamin A dan B, zat protien berkualiti tinggi penting untuk membina dan
membaiki tisu badan serta membentuk antibodi melawan jangkitan penyakit.
Zat kalsium dalam susu mudah diserap oleh badan, penting
untuk elak ‘osteoporosis’. Susu juga mengandungi zat fosforus, magnesium,
potassium, Vitamin B2 (riboflavin) dan Vitamin D. Susu lembu mempunyai 87 peratus
air dan 13 peratus pepejal.
Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya pada binatang
ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum
kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari
antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah
diminum, lagi sedap rasanya bagi orang yang meminumnya.” (Surah An-Nahl, ayat
66)
Buah kurma (serasi dengan tubuh badan manusia), anggur,
zaitun, delima mengandungi serat semula jadi yang tinggi (penting untuk
mengelak sembelit), Vitamin A (penting untuk mata/penglihatan), gula, berbagai
vitamin dan mineral serta air penting bagi kesihatan badan.
Siti Maryam menggoncangkan pohon kurma selepas melahirkan
anaknya Nabi Isa untuk dijadikan ubat berkhasiat dan memulihkan tenaga.
Firman Allah bermaksud: “Dan goyangkanlah pangkal pokok
kurma itu ke arah mu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah yang masak
kepadamu, maka makan serta minumlah dan bersenanglah kamu.” (Surah Maryam, ayat
25)
Daging juga menjadi sumber zat protien yang utama untuk
tumbesaran manusia, membekal lemak, vitamin dan mineral (zat besi dan zink).
Lantaran itu Rasulullah SAW menggemari makanan rendah lemak dan kolesterol.
Sementara, madu kaya dengan gula, sedikit air, vitamin dan
mineral penting untuk kesihatan. Selepas subuh, Rasulullah SAW memulakan
sarapannya dengan segelas air dicampur sesenduk madu asli. Di tinjau dari ilmu
kesihatan, madu berfungsi membersihkan lambung, mengaktifkan usus, menyembuhkan
sembelit dan peradangan.
Masuk waktu dhuha, Rasulullah SAW selalu makan tujuh biji
kurma ajwa’ untuk menghindari keracunan. Ketika seorang wanita Yahudi
meletakkan racun dalam makanan Rasulullah ketika perang Khaibar, bisa racun itu
kembali tawar oleh zat-zat terkandung dalam kurma. Sebab itu Rasulullah SAW
mengibaratkan orang yang rumahnya tiada kurma sebagai orang miskin.
Rasulullah SAW tidak makan dua jenis makanan panas atau dua
jenis makanan dingin secara bersamaan. Beliau juga tidak makan ikan dan daging
dalam satu waktu dan tidak tidur selepas makan kerana tidak baik untuk jantung.
Jika terlalu banyak makan daging akan memberi kesan kepada
sendi dan ginjal. Saidina Umar memperingatkan: “Jangan kau jadikan perutmu
sebagai kuburan bagi haiwan ternak.”
Rasulullah SAW melarang (makruh) meniup atau menghembus
nafas ke dalam bekas air kerana akan berlaku tindak balas yang merubah kadar
kealkalian (pH) air itu.
Sayur-sayuran menjadi pilihan Rasulullah SAW kerana secara
umumnya sayur-sayuran memiliki kandungan zat dan fungsi memperkuat daya tahan
tubuh dan melindungi daripada serangan penyakit serta mencegah penyakit
berpunca daripada gula.
Rasulullah SAW makan cuka dan minyak zaitun yang dicampurkan
dengan makanan asasi seperti roti. Ia bermanfaat mencegah lemah tulang,
melancarkan sembelit, menghancurkan kolestrol, melancarkan pencernaan dan
menjaga suhu tubuh pada musim sejuk.
Baginda melebihkan makanan berasaskan bijirin dan ubi kerana
ia membekalkan karbohidrat kompleks, vitamin, mineral dan serat. Mengikut
piramid makanan, kita disarankan mengambil 8 hingga 12 hidangan makanan
berasaskan bijirin dan ubi dalam sehari.
Ini bermakna Rasulullah SAW meninggalkan tatacara makanan
yang lengkap untuk diteladani. Namun, umat Islam masih dibelenggu pelbagai penyakit
yang menyebabkan perbelanjaan orang Islam dihabiskan untuk perubatan serta
makanan tambahan.
Oleh itu, untuk membentuk kesinambungan generasi Islam, maka
tabiat dan cara makan harus mencontohi Rasulullah SAW.
Sabda Nabi SAW: “Barang siapa yang sedikit makan, maka
perutnya akan sihat dan hatinya akan bersih. Sebaliknya barang siapa yang
banyak makan, maka perutnya akan ditimpa sakit dan hatinya keras.” (Hadis
riwayat Huzaifah).
Humaka’ ada berkata: “Kesihatan itu adalah mahkota di atas
kepala orang yang sihat dan ia tidak dapat dilihat melainkan orang yang sakit
dan perut adalah kepala segala penyakit dan pencegahan itu adalah kepala segala
ubatan.”
Penulis ialah Penolong Pengarah Hab Halal Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM)
No comments:
Post a Comment